Friday 23 November 2012

HARI ASYURA


PERKONGSIAN: HARI ASYURA ~ Sehari sebelum dan sesudahnya.

[ Dipetik dari Kitab Fiqh Sunnah: Sayyid Sabiq – bab: Puasa Sunnah ]

Nabi s.a.w ditanya apakah puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan? Beliau menjawab: Puasa dibulan Allah yang kalian namakan bulan Muharram. [ Hadis Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Abu Daud ].

Dari Muawwiyah bin Abi Sufian, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah
s.a.w bersabda: Hari ini adalah hari Asyura dan kalian tidak diwajibkan berpuasa pada hari ini. Sedangkan aku sekarang berpuasa pada hari ini. Sesiapa yang menghendaki, dia boleh berpuasa dan sesiapa yang tidak menghendaki, dia boleh untuk tidak berpuasa. [ Muttafaq ‘Alaih ].

Dari Aishah r.a, dia berkata, hari Asyura merupakan hari puasa orang-orang Quraisy pada zaman Jahiliyyah. Rasulullah s.a.w juga berpuasa pada hari Asyura. Sebaik tiba di Madinah, beliau tetap berpuasa Asyura dan menyuruh orang-orang untuk berpuasa pada hari itu. Tetapi setelah diwajibkan puasa Ramadhan, beliau bersabda:

“sesiapa yang menghendaki, dia boleh berpuasa dan sesiapa yang menghendaki, dia boleh meninggalkannya”. [ Hadis Riwayat Bukhari & Muslim ].

Dari Ibnu Abbas r.a dia berkata, Rasulullah datang ke Madinah dan menyaksikan orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Beliau bertanya: “hari apakah ini?”. Mereka menjawab: “hari ini adalah hari baik. Pada hari ini Allah menyelamatkan Musa (Nabi) dan Bani Israil dari musuh mereka. Lantas Musa berpuasa pada hari ini.” Sabda Nabi s.a.w: “aku dan kalian lebih berhak daripada Musa”. Kemudian baginda berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan puasa pada hari itu. [ Hadis Riwayat Bukhari & Muslim ].

Dari Abu Musa Al-Asy’ari r.a dia berkata: Hari Asyura dirayakan oleh orang-orang Yahudi dan mereka menjadikannya sebagai hari raya. Melihat hal itu, Rasulullah s.a.w bersabda: “Puasalah kalian pada hari ini (hari Asyura). [ Hadis Riwayat Bukhari & Muslim ].

Dari Ibnu Abbas r.a dia berkata: Tatkala Rasulullah s.a.w berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan berpuasa pada hari itu, mereka berkata: “wahai Rasulullah! Hari ini merupakan hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani.” Sabda Nabi: Jika masih bertemu dengan tahun hadapan, InsyaAllah kita berpuasa pada hari ke 9.

Ibnu Abbas berkata, tetapi belum juga sampai pada tahun hadapan, Rasulullah s.a.w telah wafat. [ Hadis Riwayat Muslim & Abu Daud ].

Dalam riwayat lain disebutkan:

“seandainya usiaku masih sampai pada tahun hadapan, sesungguhnya aku akan berpuasa pada hari ke-9. [ Hadis Riwayat Imam Ahmad & Muslim ]. (maksudnya beserta Hari Asyura: 10 Muharram ).

Para ulama’ menyebutkan bahawa, puasa Hari Asyura ada 3 tingkatan:

Pertama: Puasa selama 3 hari ( 9, 10 dan 11 Muharram )
Kedua: Puasa pada hari ke 9 dan 10 Muharram sahaja.
Ketiga: Puasa pada hari ke-10 Muharram sahaja.

No comments:

Post a Comment